Soalan:
Huraikan / Jelaskan sistem pembesar yang diamalkan di China abad ke-16
hingga ke-20.
Pembesar merujuk kepada pegawai kerajaan yang dilantik oleh
raja untuk membantu melicinkan perjalanan pentadbiran sesebuah negara. Di
China, pegawai yang terdiri daripada golongan cerdik pandai merupakan orang
kedua terpenting selepas maharaja. Pembesar China boleh dibahagikan kepada dua
iaitu pembesar di peringkat pusat dan pembesar di peringkat wilayah.
Pentadbiran China dibahagikan kepada tiga unit utama iaitu
Majlis Tertinggi, Sekretariat Agung dan Lembaga Penapis [Censorate]. Majlis
Tertinggi terdiri daripada enam kementerian yang setiap satunya diketuai oleh
pegawai yang dipanggil Shangschu. Majlis Tertinggi berperanan menasihati
maharaja dalam hal pemerintahan. Sekretariat Agung berperanan menyelia,
menyelaras dan melaporkan perjalanan enam kementerian yang terdapat
dalam pentadbiran kerajaan pusat. Lembaga Penapis pula berperanan menjadi
mata dan telinga maharaja yang melaporkan setiap tindakan pembesar.
Dalam sistem pembesar China terdapat dua kelompok pembesar
iaitu golongan sarjana dan bukan sarjana. Golongan sarjana menduduki darjat
paling tinggi dalam sistem pembesar China. Golongan ini merupakan lulusan
peperiksaan awam yang menjadi syarat lantikan atau kenaikan pangkat. Golongan
sarjana biasanya menjawat jawatan yang penting terutama dalam hal yang
melibatkan penggubalan dasar. Dasar yang telah digubal ini akan dilaksanakan
oleh pembesar bawahan di peringkat wilayah dengan bantuan pembesar tempatan
iaitu gentry.
Pembesar peringkat wilayah yang bukan golongan sarjana pula
memiliki angkatan tentera sendiri. Mereka berperanan menyediakan bantuan
ketenteraan kepada pemerintah pusat terutama ketika
diperlukan. Selain itu, mereka juga bertanggungjawab menjaga
keamanan dan kestabilan wilayah sendiri. Kedudukan pembesar ini lebih rendah
berbanding pembesar golongan sarjana.
Semasa
pemerintahan Dinsati Ch’ing, gabenor dilantik sebagai pentadbir daerah yang
menguruskan pentadbiran, keamanan dan ketenteraan, serta kutipan cukai. Gabenor
ini berhubung langsung dengan pemerintahan pusat. Kesetiaan gabenor kepada
pemerintah pusat dipaterikan dalam dikri diraja. Gabenor akan mentadbir
dan dibantu oleh pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja.
Sistem pembesar di China yang menekankan ajaran klasik
Confucius menyaksikan China bangkit sebagai sebuah kuasa yang besar sekitar
abad ke-16 hingga ke-20. Walau bagaimanapun, sikap pemerintah Dinasti Ch’ing
yang tidak lagi menekankan ajaran Confucius menyebabkan kemerosotan
nilai dan etika para pembesar yang lebih mementingkan kebendaan. Sistem
pembesar di China berakhir apabila pemerintahan Dinsati Ch’ing tamat.