Soalan: Bandingkan
sistem feudal yang diamalkan di Jepun dengan sistem feudal yang diamalkan di
England pada abad ke-16.
Sistem feudal merujuk kepada sebuah kerajaan tempatan yang
ditadbir oleh individu tertentu dan bukan wakil kerajaan pusat. Di Eropah,
sistem feudal dikatakan berasal dari empayar Rom dan di Jepun pula, sistem ini
sudah bermula sejak zaman Kamakura. Terdapat persamaan dan perbezaan di antara
sistem feudal yang diamalkan di Eropah dengan di Jepun.
Persamaan sistem feudal yang diamalkan di Eropah dan di
Jepun dapat dilihat dalam beberapa aspek. Persamaan pertama ialah dari
aspek sistem kelas di dalam masyarakat. Masyarakat terbahagi kepada
dua iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah terdiri
daripada golongan bangsawan manakala golongan diperintah terdiri daripada
petani, rakyat biasa dan hamba.
Persamaan seterusnya ialah, kurangnya berlaku mobiliti
sosial di dalam masyarakat. Jarang berlaku perubahan status dalam
masyarakat feudal. Sebagai contoh, jika dilahirkan sebagai anak petani, maka
akan terus menjadi petani. Hal ini bertepatan dengan ciri sistem
feudal iaitu kedudukan seseorang adalah berdasarkan sistem kelas
atau hierarki.
Selain itu, masyarakat feudal di Eropah dan Jepun sering
berdepan denganpeperangan. Kehidupan masyarakat di kedua-dua negara agar
huru-hara. Situasi ini menyebabkan golongan knight di Eropah dan samurai di
Jepun memainkan peranan yang sangat penting. Kedua-dua golongan ini berkhidmat
dan terikat dengan golongan bangsawan sebagai tentera. Peralatan perang yang
digunakan juga sama iaitu kuda, pedang dan baju perisai.
Perbezaan di antara sistem feudal yang diamalkan di Eropah
dan Jepun pula boleh dilihat dari aspek binaan istana. Istana di Eropah
dibina daripada batu manakala istana di Jepun diperbuat daripada kayu. Dari
segi pemilikan tanah pula, golongan knight di Eropah mendapat tanah
sebagai ganjaran atas perkhidmatan sebagai tentera. Di Jepun pula,
golongan samurai tidak memiliki tanah kerana daimyo membayar gaji samurai dalam
bentuk beras.
Perbezaan seterusnya ialah dari aspek pengukuhan negara
bangsa.Pengukuhan negara bangsa di Eropah dilakukan oleh raja-raja Tudor yang
memerintah dengan cekap. Di Jepun pula, penyatuan dan keamanan negara
dilaksanakan oleh jeneral tentera. Dari aspek perundangan pula,
masyarakat feudal di Eropah mengamalkan konsep undang-undang Rom yang
menekankan hak, undang-undang dan kewajipan. Masyarakat feudal di Jepun pula
dipengaruhi oleh etika China yang menekankan aspek moral melebihi undang-undang.
Jelas terbukti bahawa sistem feudal yang diamalkan di Eropah
dan di Jepun mempunyai persamaan terutama berkaitan sistem kelas
masyarakat, peperangan dan mobiliti sosial dalam masyarakat. Walau
bagaimanapun terdapat juga perbezaan dari aspek binaan istana,
pemilikan tanah, penyatuan negara bangsa dan konsep perundangan.
No comments:
Post a Comment