Soalan: Huraikan
faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia.
Perang Dunia Kedua yang tercetus pada tahun 1938 meninggalkan
impak yang besar kerana bukan sahaja melibatkan negara-negara di Eropah tetapi
termasuk negara-negara di Asia dan Afrika. Jepun merupakan salah sebuah negara
Asia yang terlibat secara langsung dalam Perang Dunia Kedua. Terdapat beberapa
faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia.
Salah satu daripada faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di
Asia ialah wujudnya gerakan nasionalisme yang melampau di Jepun. Kita Ikki
merupakan seorang pelampau yang mempelopori aliran baharu nasionalisme di
Jepun. Beliau berpendapat pembentukan semula negara Jepun oleh tentera atas
nama maharaja perlu dilakukan. Beliau menolak amalan demokrasi Barat dan
Parlimen Jepun yang mudah terjebak dalam amalan rasuah. Aliran ini menyebabkan
berlakunya pergeseran antara parti pemerintah dengan golongan tentera. Kejayaan
golongan tentera mengambil alih tampuk pemerintahan Jepun
membolehkan mereka mengukuhkan kekuatan tenteranya bagi menghadapi
kuasa Barat.
Kemelesetan ekonomi dunia pada tahun 1929 turut
mendorong kepada meletusnya Perang Dunia Kedua. Krisis ekonomi dunia ini telah
menyebabkan golongan petani dan rakyat Jepun dibebani kemiskinan. Petani yang
tidak berpuas hati dengan pemerintah akhirnya telah menyatakan sokongan kepada
tentera. Pada tahun 1936, golongan tentera memberontak dan berjaya menguasai
kerajaan. Kerajaan Jepun kemudiannya berusaha mempersiapkan diri untuk
menghadapi peperangan.
Kepentingan ekonomi Jepun juga mendorong kepada kancah
Perang Dunia Kedua. Dasar Pemodenan Meiji berjaya memacu ekonomi
Jepun sehingga menjadi negara industri yang kuat. Kepesatan ekonomi Jepun turut
meningkatkan permintaan ke atas bekalan bahan mentah bagi memenuhi keperluan
industri. Bagi mendapatkan bekalan bahan mentah dan pasaran, Jepun telah
melaksanakan dasar imperialisme. China dan Manchuria yang kaya dengan arang
batu, kapas dan sutera telah menjadi sasaran Jepun. Belanda,
Britain, AS dan Perancis bimbang dasar imperialisme Jepun ke kawasan lain
seperti Indo-China dan Asia Tenggara menjejaskan kepentingan mereka.
Selain itu, isu keselamatan negara Jepun juga
menjadi faktor meletusnya Perang Dunia Kedua. Pada penghujung abad ke-19, Jepun
bangkit sebagai kuasa yang kuat di Asia. Yoshida Shoin, tokoh
intelek Jepun menegaskan bahawa Jepun perlu memperkukuhkan pertahanannya.
Yamagata Aritomo, salah seorang pemimpin kerajaan Meiji telah
mengetengahkan konsep garis kepentingan negara. Konsep ini merujuk kepada
kawasan bersempadanan atau berhampiran dengan Jepun dianggap
mempengaruhi keselamatan Jepun. Oleh itu, garis kepentingan negara ini wajar
diperkukuhkan. Penekanan ke atas konsep ini menyaksikan Jepun cuba meluaskan
garis kepentingan negara dengan menyerang Rusia [1905], Korea [1910], China
[1895 & 1937], Manchuria [1932], Indo-China dan Asia Tenggara [1941].
Jelas sekali dasar pemodenan Meiji berjaya menjadikan Jepun
sebagai sebuah kuasa yang kuat di rantau Asia. Dasar imperalisme dan ancaman
kuasa Barat telah mendorong Jepun bertindak memperkuatkan pertahanan negaranya.
Kekuatan Jepun menjadikan negara tersebut bersedia berdepan dengan kuasa
Barat dan juga sebarang kemungkinan peperangan.
No comments:
Post a Comment